Tempat Menarik Di Kundasang: 18 Tarikan Terbaru Di Kundasang Sabah

Dengar sahaja Sabah, pasti ramai yang terbayangkan Gunung Kinabalu yang begitu gah sekali berdiri menyentuh langit.

Tahukah anda bahawa di sebalik gunung ini sebenarnya terdapat sebuah pekan kecil dengan keindahan yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata?

Pekan Kundasang, terletak 2000 meter dari aras laut memiliki keindahan yang setaraf dengan negara-negara di Eropah. Jom kita terjah apa tempat menarik di Kundasang Sabah.

Sebelum itu untuk makluman di sini anda tidak memerlukan passport atau bersusah-payah menukar mata wang.

Heavenkan jadi rakyat Malaysia?

Tapi sebelum anda merancang untuk ke Negeri Bawah Bayu ini, mari kita lihat apa tarikan-tarikan yang wajib dilawati di Pekan Kundasang ini.

Tempat Menarik di Kundasang

#1 — Desa Cattle Dairy Farm

tempat menarik di kundasang desa cattle dairy farm

Nak tahu perkara yang paling wajib anda buat di Kundasang?

Jawapannya adalah melawat Desa Cattle Dairy Farm.

Segalanya tentang ladang ini tidak ubah seperti di negara New Zealand.

Dengan berlatarbelakangkan bukit-bukau dan Gunung Kinabalu yang penuh kehijauan serta langit yang membiru, pemandangan di ladang lembu ini sungguh mengasyikkan.

Di samping menikmati pemandangan, anda juga boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan seperti memberi susu kepada anak lembu, melihat bagaimana susu di ladang ini diproses dan dibungkus serta memberi kambing makan rumput. Ya, bukan semata-mata lembu, kambing pun ada di sini.

Sudah puas berseronok, hilangkan lapar dan dahaga dengan mencuba pelbagai produk tenusu yang dijual di sini seperti aiskrim, yogurt dan susu kotak. Sensasi kesegarannya sungguh terasa!

Lokasi: Desa Dairy Farm, Mesilau

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa: RM3

Kanak-kanak: RM1

Waktu Lawatan: Setiap hari (8.:00 am – 5:00 pm)

#2 — Ladang Teh Sabah

Nak legakan paru-paru yang dah lama menghirup udara tercemar di kota? Kalau begitu, datanglah ke Ladang Teh Sabah, satu-satunya ladang teh organik yang terletak di Borneo.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah merentas hutan di sekitar Taman Rekreasi Sapaon dan menakluki Bukit Kamunsu. Anda juga boleh merancang untuk berjalan-jalan di waktu malam di sini bagi meneroka pelbagai jenis serangga unik yang ada.

Antara kemudahan yang disediakan di Ladang Teh Sabah ini adalah padang bola, gelanggang tenis, kafe dan dewan.

Lokasi: KM17, Jalan Ranau / Sandakan, Kg. Nalapak, 89309, Ranau

Bayaran Masuk:

Lawatan berpandu: RM14

Lawatan berpandu + makan tengahari: RM44

Waktu Lawatan: Setiap hari (8:00 am – 4:30 pm)

3.Jambatan Gantung Tamparuli

Jambatan Gantung Tamparuli adalah sebuah jambatan yang terletak di dalam persekitaran yang indah di mana anda dapat menikmati pemandangan air sungai yang mengalir di bawahnya sambil merentasi.

Jambatan pejalan kaki ini terletak hanyalah bersebelahan dengan jambatan lebih rendah yang menjadi laluan kenderaan. Kalau tak gayat, bolehlah anda berposing-posing di jambatan ini untuk bergambar.

Lokasi: Jalan Bontoi, Tamparuli 89250

4.Sungai Moroli Ikan Tagal Kg Luanti

Sungai Moroli Ikan Tagal Kg Luanti, wah! Panjang bebenor namanya. Al-kisahnya, ‘Tagal’ ini bermaksud ‘tidak boleh memancing’ di dalam bahasa Kadazan Dusun. Ikan-ikan di sini tidak dibernarkan ditangkap dengan tujuan untuk memulihara alam sekitar.

Nama sebenar ikan ini adalah Ikan Kelah yang juga dikenali sebagai Ikan Pelian dalam kalangan penduduk tempatan. Ikan-ikan ini telah dilatih khas oleh penduduk di sekitar untuk melakukan ‘spa ikan’ pada kulit kaki anda.

Apa salahnya sekali-sekala memanjakan kaki yang dah banyak digunakan untuk menjelajah sekitar dunia kan? Keluar sahaja daripada sungai Moroli ini anda dapat merasakan perbezaan kulit kaki yang lebih halus-mulus daripada biasa. Tapi lagi sekali jangan lupa, jangan ditangkap pula mana-mana ikan di sini kalau tak mahu dikecam ya?

Lokasi: Sungai Moroli, Kampung Luanti, Ranau, Sandakan

Bayaran Masuk:

Dewasa (18 tahun keatas): RM5

Kanak-kanak (18 tahun kebawah): RM2

5.Sosodikon (Pyramid) Hill

Kalau di Selangor ada Sunway Pyramid, di dalam negeri yang dipenuhi dengan keindahan alam semula jadi ini pula terdapat Sosodikon (Pyramid) Hill. Anda perlu mendaki dalam sekitar 20 minit untuk sampai ke bahagian puncak bukit ini. Bagi anda yang meyimpan hasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu, apa kata kalau cuba-cuba menjinakkan diri dengan mendaki bukit ini dulu?

Sebaik sahaja sampai ke puncaknya, anda akan terpesona melihat keindahan yang terbentang di depan mata. Dari sini anda dapat melihat kemegahan Kinabalu dan kawasan bukit-bukau yang berbentuk seperti piramid.

Lokasi: Bukit Sosodikon, 89308 Kundasang

6.Kundasang War Memorial

Ditubuhkan pada tahun 1962, Kundasang War Memorial telah dibina untuk memperingati keberanian banduan-banduan daripada Australia, British dan rakyat tempatan dalam Perang Dunia Ke-2 ketika menuju ke Ranau dari Sandakan dalam memerangi askar Jepun.

Yang menjadi daya tarikan di memorial ini adalah 4 buah taman uniknya yang berlanskap indah iaitu Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo dan Taman Renungan. Kesemua taman ini dibina untuk memperingati kesemua pejuang yang datang daripada latar belakang berbeza.

Lokasi: 90 Km, Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300, Ranau

Bayaran Masuk (Bawa MyKad): RM2

Waktu Lawatan: Setiap hari (8:30 am – 5:30 pm)

7.Mesilou Highland Strawberry Farm

Nak makan strawberry yang segar sepuas hati macam di negara Eropah? Jom melawat Mesilou Highland Strawberry Farm. Terletak di Kampung Mesilou, Kundasang, lawatan ke Mesilou Highland Strawberry Farm membolehkan anda memetik sendiri buah-buahan strawberry yang terdapat di sini untuk dinikmati sepuas hati kemanisan buah yang berwarna merah ini.

Kalau anda nak tahu, benih strawberry di ladang ini telah didatangkan daripada negara Jepun.

Lokasi: Kg.Mesilou, Ranau

Waktu Lawatan:

Selasa – Sabtu: 8:30 am – 5:00 pm

Ahad: 8:30 am – 12:30 pm

Isnin: Tutup

8.Tandem Paragliding

Tak puas lagi menikmati pemandangan sekitar Sabah walaupun dah berjalan berbatu-batu? Itu tandanya anda perlu mencuba Tandem Paragliding. Lokasi paragliding ini adalah di Ranau, dalam 108 km dari Kota Kinabalu.  Di sinilah anda dapat terbang sepuasnya bak burung merpati dengan ‘sayap’ yang disediakan untuk menikmati keindahan Sabah seluas pandangan mata.

Terasa macam dah habis menjejaki seluruh pelusuk Sabah pula.

Lokasi: Ranau, Sabah Highlands

Bayaran Masuk: 

Bawa MyKad: RM190

Video GoPro (Bawa pendrive 4gb sendiri): RM50

Waktu Lawatan: 10:00 am – 5:30 pm

9.Kolam Air Panas Poring

Ingin menyegarkan badan yang dah penat meneroka sekitar negeri dengan keindahan alam yang memukau ni? Singgahlah ke Kolam Air Panas Poring. Berlokasi di kawasan tanah rendah, kolam air panas ini cukup kaya dengan kandungan sulfur yang dapat melegakan badan dan meningkatkan kesihatan. Bagi anda yang baru selesai melakukan aktiviti ekstrem, di sinilah ‘spa’ untuk memanjakan badan yang dah tercungap kepenatan.

Anda boleh memilih untuk berendam sama ada di dalam kolam renang terbuka ataupun tertutup. Nak lagi best? Datanglah di sini seawal yang mungkin untuk membolehkan anda merasai nikmat sebenar tanpa gangguan pengunjung yang ramai.

Lokasi: 89300 Ranau, Sabah, Poring Hot Spring

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa: RM3

Bawah 18 tahun: RM1

Kamera: RM5

Video: RM30

Tab mandian tertutup: RM15-20

Waktu Lawatan: Setiap hari (7:00 am – 6:00 pm)

10.Nulu Tinorindak Kampung Lembah Pantai Kundasang

Nulu Tinorindak Kampung Lembah Pantai Kundasang adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang perlu didaki bagi menikmati keindahan sebenar yang ditawarkannya. Untuk ke sini, anda perlu menggunakan jalan utama yang sama untuk ke Desa Cattle Farm. Masa yang diambil dari Pekan Kundasang  untuk ke bukit ini hanyalah kira-kira 10 minit pemanduan.

Setibanya di sini, anda boleh memulakan langkah pendakian mencabar untuk ke puncak Tinorindak, namun jangan risau, kerana terdapat juga beberapa bahagian yang telah disediakan dengan tangga untuk memudahkan perjalanan anda.

Sampai sahaja di puncak, hilanglah kepenatan yang dirasai sebaik melihat pemandangan sekitar Kundasang yang terbentang indah di depan mata.

Lokasi: Nulu Tinorindak, Lembah Permai, Kundasang

Bayaran Masuk: RM5

11.Kampong Arnab Kundasang

Siapa tak suka dengan haiwan comel berkaki pendek si arnab ini? Anda dapat merasai pengalaman dikelilingi oleh haiwan berbulu lembut ini jika melawat ke Kampong Arnab Kundasang. Di sini anda dapat ‘beramah-mesra’ dengan bukan hanya 1 spesies arnab tetapi bermacam-macam jenis seperti Holland Loop, Newzealand White, Satin, Lionhead dan lain-lain lagi.

Tak cukup dengan itu? Sebenarnya Kampong Arnab Kundasang bukan hanya ‘kampung’ yang eksklusif untuk sang arnab, tapi ia juga menempatkan pelbagai haiwan comel yang didatangkan daripada luar negara seperti kucing Parsi, Bengal dan juga hamster.

Lokasi: Kg Purakagis, Ranau

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM3

Kanak-kanak: RM5

Waktu Lawatan: Isnin – Ahad (8:00 am – 5:00 pm)

12.Gerai Sayur Segar Pekan Kundasang

Tak sah kalau tak merasa kesegaran sayur-sayuran dan buah-buahan di Kundasang kalau sudah datang bercuti di sini. Negeri Bawah Bayu ini memiliki tanah dan cuaca yang sangat sesuai untuk penanaman segala macam tumbuhan menjadikan buah dan sayur di negeri ini mustahil untuk habis.

Sudah dibeli, bolehlah dibawa balik untuk dimasak di tempat penginapan anda, nak lagi best? Apa kata kalau anda menikmati makanan segar ini sambil berkelah di salah satu daripada tarikan alam semula jadi di Kundasang ini.

Lokasi:  Gerai Sayur-sayuran, Pekan Kundasang

13.Pasar Kraftangan Pekan Nabalu

Pasar Kraftangan Pekan Nabalu adalah salah satu destinasi wajib untuk anda lawati lebih-lebih lagi kalau ianya adalah hari terakhir anda di bumi Sabah.

Apa yang anda rancang untuk belikan kepada yang tersayang? T-shirt? Fridge magnet? Keychain? Dan macam-macam lagilah yang sesuai untuk dijadikan tanda ingatan, segalanya ada di sini. Harganya? Jauh lebih murah daripada di tempat lain, memang rugi kalau tak beli!

Lokasi: Pekan Nabalu, 89300 Ranau

14.Rumah Terbalik & 3D Wonders Museum Tamparuli

Rumah Terbalik & 3D Wonders Museum Tamparuli adalah 2 tarikan berbeza yang terletak di dalam satu kawasan yang sama.

Kalau anda ke sini, anda boleh memulakan keseronokan dengan melawati sebuah rumah yang melawan graviti, Rumah Terbalik. Boleh terbalik biji mata sebaik melihat kedudukan perabot dan segala macam barang lagi di rumah ini kerana segalanya terletak di siling rumah dan siling yang sebenar pula berkedudukan di lantai. Dengar pun dah peningkan?

Sudah puas berposing di dalam rumah pelik ini, anda boleh meneruskan langkah kaki ke 3D Wonders Museum Tamparuli. Muzium ini mempamerkan hasil seni khas yang kelihatan cukup realistik di pandangan mata kerana kepakaran pelukis dalam mengolah perspektif dan warna karya. Memang syoklah untuk berfotografi sepuas hati di sini.

Lokasi: Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli 89250

Bayaran Masuk (MyKad):

Rumah Terbalik

Dewasa: RM12.70

Kanak-kanak (4 – 12 tahun): RM5.30

3D Wonders Museum

Dewasa: RM24.40

Kanak-kanak: RM15.90

Waktu Lawatan: Setiap hari (7:00 am – 7:00pm)

15.Taman Negara Kinabalu

Inilah dia salah satu lokasi yang paling hot di Kundasang, Taman Negara Kinabalu. Taman yang tertua di negeri Sabah ini merupakan destinasi yang dapat memberikan anda sekeluarga oksigen segar melalui pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti merentas hutan, memerhati burung atau sekadar menikmati keindahannya sambil bersantai bersama keluar di bawah lindungan pondok yang disediakan.

Lokasi: Mount Kinabalu National Park, 89300 Ranau

16.Timpohon Gate

Timpohon Gate adalah checkpoint yang pertama sekali yang perlu dilalui mereka yang berniat untuk menakluki Gunung Kinabalu. Bagi anda yang tak bejiwa selasak ini untuk mendaki, anda boleh bersantai-santai di sini bersama keluarga untuk menikmati pemandangan dari platform pemerhatian yang menyajikan pemandangan lembah di sekitar gunung.

Tak cukup dengan itu, anda juga boleh memberi makan kepada banyak tupai-tupai comel yang menunjukkan diri mereka di sini. Selain itu, Timpohon Gate juga adalah lokasi yang menarik untuk anda yang ingin memerhati burung.

Lokasi: Timpohon Gate, Taman Negara Kinabalu

17.Taman Rose Dan Strawberry Kundasang

Terletak berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang adalah Taman Rose Dan Strawberry Kundasang, memang mudahlah anda nak mencari taman ini nanti.

Apa yang membezakan kebun strawberry ini daripada yang lain adalah kerana ia turut menempatkan tanaman bunga-bungaan yang pelbagai jenis. Kesemua tanaman di sini boleh dibeli dengan harga yang sangat murah. Inilah masanya untuk membuat sesuatu yang romantik dengan memberi bunga kepada yang tersayangkan?

Sudah merasa keenakan buah strawberry, anda boleh menuju ke arah ladang bunganya untuk menghidu haruman neutral yang dihasilkan serta bergambar sepuas hati.  Antara jenis bunga yang terdapat di sini adalah bunga ros dalam pelbagai warna, bunga matahari, lily dan banyak lagi.

Lokasi: Jln Kg Mesilou, Ranau, Sabah, 89803

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM2

Kanak-kanak: RM1

18.J.S Nursery Kundasang

Sekiranya anda dalam perjalanan untuk menuju ke Desa Cattle Dairy Farm, J.S Nursery Kundasang adalah salah satu ‘pitstop’ yang menarik. Di sini anda boleh melihat keindahan tanaman bunga-bungaan penuh warna-warni yang tumbuh mekar tersusun rapi.

Dilengkapkan lagi dengan udara yang segar, pengalaman melawat kebun bunga ini pastinya menjadi satu memori indah. Dah puas menikmati dan menghirup baru harumnya, anda boleh memilih mana-mana bunga yang terdapat di sini untuk dibeli dalam harga yang murah.

Lokasi: J.S Nursery Kundasang, Sabah

“Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik negara sendiri,” terbukti sudah setelah melihat keindahan Kundasang bukan? Persis di luar negara.

Pekan yang terletak di kawasan tanah tinggi ini menjadi pintu kebebasan sebenar kepada anda yang mencari ketenangan dari kehidupan di kota.

Tunggu apa lagi?

Jom kita ke Kundasang!

Leave a Comment