Tempat Menarik Di Langkawi: 16 Destinasi Percutian Menarik Ogos 2018

Dah bosan asyik pergi ke tempat sama setiap kali bercuti ke Langkawi? Jom kita tengok apa lagi tempat menarik di Langkawi yang boleh anda kunjungi tahun ini.

Dikelilingi oleh Laut Andaman yang berwarna biru kehijau-hijauan, kepulauan yang terdiri daripada 104 buah pulau indah ini, Kepulauan Langkawi, juga dikenali sebagai Permata Kedah.

Daripada kesemua pulau ini, Pulau Langkawi, yang juga merupakan yang terbesar daripada yang lain adalah pulau yang paling ‘hot’ di Kedah.

Dari gunung-ganang yang megah, pantai-pantai yang mendamaikan hinggalah kepada hutan yang kaya dengan flora dan fauna, Langkawi adalah sebuah destinasi yang mampu menghapuskan lelah dan beban di dada.

Alam semula jadinya ini juga menjadikan ia kegilaan pencinta aktiviti outdoor dan sukan ekstrem. Nak tahu dengan lebih terperinci semua tarikan yang ada di pulau ini? Jom kita lihat senarai 16 tempat menarik di Langkawi ini.

16 Tempat Menarik Di Langkawi 2018

Baca juga:

1. Taman Lagenda Pulau Langkawi

Terletak hanyalah 400 meter dari Jeti Kuah, Taman Lagenda Pulau Langkawi adalah sebuah tarikan unik yang berkeluasan 50 hektar. Di dalam taman ini seperti namanya ‘taman lagenda’ anda dapat mengetahui pelbagai kisah dongeng atau mitos yang sinonim dengan Langkawi, dari kisah gergasi dan perang hinggalah kepada kisah puteri kayangan dan cinta.

‘Muzium terbuka’ ini boleh diterokai sama ada dengan berjalan kaki ataupun menggunakan buggy. Anda dapat melihat lebih daripada 15 buah arca yang berwarna-warni yang diinspirasikan daripada lagenda tempatan.

Lokasinya, hanyalah sekitar 400 meter daripada Jeti Kuah. Selepas puas tenggelam di dalam dunia lagenda, anda boleh meneruskan langkah ke banyak kedai-kedai bebas cukai yang terletak berdekatan.

Lokasi: Kuah Jetty, 07000 Kuah

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Lawatan: Setiap hari (9:00 am – 7:00 pm)

2. Oriental Village Langkawi

oriental village langkawi

Oriental Village Langkawi adalah sebuah kompleks terbuka yang bertema. Di dalamnya anda dapat mencuci mata melihat tasik yang besar dan berjalan memasuki galeri seni, pameran haiwan dan banyak kedai-kedai yang menjual kraftangan serta cenderamata tempatan. Penat berjalan kaki? Anda boleh menyewa Segway yang disediakan untuk perjalanan yang lebih ‘chill.’

Sudah puas meneroka kawasan daratan, anda boleh bergerak lebih tinggi dengan menaiki kereta kabin SkyGlide untuk menuju ke jambatan dan platform yang mendedahkan pemandangan seluas pandangan mata sekitar Langkawi.

Lokasi: Burau Bay, 07100

Bayaran Masuk:

Sky Bridge

Dewasa: RM5

Kanak-kanak: RM3

SkyGlide

Dewasa: RM10

Kanak-kanak: RM7

Waktu Lawatan: 

Oriental Village: Dibuka 24 jam

Kedai: 10:00 am – 7:00 pm

3.Art in Paradise

Berkeluasan 2000 meter persegi, Art in Paradise terletak di dalam sebuah bangunan 3 tingkat yang apabila dimasuki membawa anda ke dalam syurga karya seni yang unik dan penuh interaktif. Terbahagi kepada 9 zon iaitu zon fantasi, safari, aquatic, ilusi optik, lanskap, Mesir, klasik, Malaysia dan istana. Kalau anda nak tahu, terdapat lebih daripada 200 karya seni yang menanti anda di sini. Banyak tak banyak? Sebenarnya muzium ini merupakan muzium 3D yang kedua terbesar di dunia dan yang terbesar di Malaysia.

Sememangnya ini adalah syurga untuk anda berposing bermacam gaya yang sesuai dengan lukisan. Nak berlari, merangkak, melompat atau apa sahaja, galeri ini tak ubah macam taman permainan bagi orang dewasa.

Lokasi: Oriental Village Burau Bay, 07000 Langkawi

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa: RM30

Kanak-kanak: RM20

Waktu Lawatan: Isnin – Ahad (9:00 am – 7:00 pm)

4.Skydive Langkawi

Dah puas berjalan, tiba-tiba terasa macam nak terbang pula, dekat mana pula nak hilangkan kempunan ni? Kalau tak kisah berbelanja besar, anda boleh merealisasikan impian untuk terbang seperti burung di Skydive Langkawi. Tak pernah berskydiving? Jangan risau, kerana anda akan terjun secara tandem, kalau wanita, mintalah pengiring wanita ya?

Lokasi: Office 7, Lot 35, Komplek ABZ | Jalan Airport, Langkawi 07100

Bayaran Masuk: Dari RM1290

5.Underwater World Langkawi

Berjalan di darat sudah, mencecah awan pun sudah, apa lagi yang belum dibuat? Jawapannya adalah penerokaan di dalam air dan ini dapat anda rasai di Underwater World Langkawi. Jangan risau, anda tak perlu menyentuh air ataupun menyelam untuk melihat dunia marin ini sebab segalanya dapat dilihat  sambil berjalan melalui terowong yang dikelilingi oleh akuarium.

Sebaik melangkah masuk ke dalam Underwater World Langkawi, anda dapat melihat ikan air tawar yang terbesar di dunia iaitu Arapaima, jangan terkejut pula ya?

Untuk pengetahuan anda, kompleks ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bahagian Tropical Rainforest, Temperate dan Sub-Antarctic. Dikatakan bahawa terdapat lebih daripada 200 spesies haiwan yang dipamerkan di sini.

Bagi anda yang datang dengan anak-anak, jangan terlepas dari melawati seksyen Sub-Antarctic sebab di sinilah terletaknya penguin-penguin yang comel.

Lokasi: Jalan Pantai Chenang, 07000 Langkawi

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa: RM36

Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM26

Warga emas (50 tahun & keatas): RM29

Waktu Lawatan:

Setiap hari: 10:00 am – 6:00 pm

Cuti sekolah & cuti umum: 9:30 am – 6:30 pm

6.Air Terjun Temurun

Terletak 42 km dari Pekan Kuah, Air Terjun Temurun merupakan sebuah keindahan alam semula jadi yang cukup mempesonakan. Air terjun 3 tingkat ini terbentuk pada batuan yang dikatakan telah berusia lebih daripada 500 juta tahun. Untuk pengetahuan anda, air terjun yang tertinggi di Langkawi ini mengalirkan airnya di bahagian utara Gunung Mat Cincang.

Untuk ke sini, anda boleh meletakkan kereta di jalan utama dan berjalan kaki dalam masa 5 minit untuk sampai ke  tingkat pertama air terjun.

Lokasi: Air Terjun Temurun, Langkawi

7.SkyTrex Adventure Langkawi

Tak puas dengan hanya berjalan penuh santai tanpa cabaran? SkyTrex Adventure Langkawi adalah lokasi & tempat menarik di Langkawi yang boleh memenuhi kehendak jiwa adventure anda.

Segala yang perangai lasak anda tak tahan nak buat, boleh dilakukan sepuasnya di sini.  Dari bergayut, bergelongsor dan segala macam aktiviti gayat dan mencabar boleh dilakukan di sini.

Tapi, kenalah tahu kemampuan diri dulu, sebab aktiviti-aktiviti di sini memerlukan stamina yang tinggi. Apa-apa pun, pihak  SkyTrex Adventure  menyediakan tiket untuk 3 peringkat kemampuan yang berbeza, kalau anda hanya ingin berjinak-jinak dalam aktiviti lasak, cubalah pakej untuk ‘Beginner’nya dahulu ya? Ini mungkin boleh menjadi langkah permulaan untuk anda menentang ketakutan diri sendiri atau kata orang “Face your fears!”

Lokasi: Skytrex Langkawi Adventure Park Jalan Teluk Yu Kampung Kok Langkawi Kedah

Bayaran Masuk:
Beginner: RM50

Intermediate: RM60

Expert: RM70

Waktu Lawatan:

Pendaftaran awal: 9:00 am

Pendaftaran akhir: 3:00 pm

8.Langkawi Canopy Adventure

Teringin menikmati keindahan flora dan fauna yang menanti di Gunung Raya, gunung yang tertinggi di Langkawi? Tak ke lagi best kalau penerokaan ini dapat dibuat sekaligus dengan aktiviti lasak? Kalau anda seorang yang mendahagakan sukan ekstrem, jangan melepaskan peluang untuk mengikuti Langkawi Canopy Adventure.

Melalui aktiviti canopy adventure ini anda dapat menakluki gunung berketinggian 881 meter ini dalam pelbagai ‘gaya,’ dari abseiling, memanjat pokok, merentasi hutan hinggalah kepada ziplining. Dalam jangka masa 2 ke 3 jam adventure ini anda akan dapat merasa betapa terujinya fizikal dan mental, tapi pengalaman yang tercipta pasti tidak dapat dilupakan sehingga ke akhir hayat.

Lokasi: No 1176, Jalan Batu Belah Batu Bertangkup, Kampung Bukit Lembu, 07000 Langkawi

Bayaran Masuk: Dari RM180

9.Pantai Cenang

Puas sudah beraktiviti lasak di Langkawi, anda boleh meneruskan lawatan ke Pantai Cenang untuk merehatkan badan yang telah lenguh kepenatan sambil merasai bayu laut yang mendamaikan.

Sebelum berkelah di tepi pantai, apa kata kalau anda membeli-belah makanan yang dijual di banyak kafe dan restoran yang terdapat di sekitar pantai ini.

Kalau anda nak tahu, di pesisir pantai ini turut terdapat banyak lagi tarikan lain seperti Laman Padi Langkawi dan Underwater World Langkawi.

Lokasi: Pantai Cenang, Langkawi 07000

10.Langkawi Wildlife Park

Nama lama bagi Langkawi Wildlife Park ini adalah Taman Burung Langkawi. Bersesuaian dengan namanya sekarang, taman ini juga turut menempatkan banyak lagi haiwan lain seperti arnab, rakun, tikus belanda dan lain-lain.

Yang menariknya, anda boleh merancang untuk datang ke sini pada bila-bila masa tak kira hujan atau panas kerana taman ini dilindungi bumbung dan merupakan yang pertama seumpamanya di  benua Asia.

Yang menariknya, walaupun berbumbung, suasana hutan hujan tropika taman ini terasa sangat realistik ditambah lagi dengan kewujudan air terjun sebagai salah satu penyumbang keindahan lanskap.

Bagi pencinta burung, taman ini menempatkan lebih daripada 150 spesies burung yang didatangkan daripada seluruh pelusuk dunia seperti Australia, Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Lokasi: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah, 07000 Langkawi, Kedah

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa (13 tahun & keatas): RM24

Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM16

Warga emas (55 tahun & keatas): RM16

Waktu Lawatan: Setiap hari (8:30 am – 6:00 pm)

11.Kilim Geoforest Park

Ingin melihat segala macam keindahan alam semula jadi yang ditawarkan Langkawi? Apa kata kalau anda mengikuti riverboat cruise di Kilim Geoforest Park.

Berkeluasan lebih daripada 100 km persegi, Kilim Geoforest Park merupakan syurga bagi pencinta flora dan fauna kerana di sinilah anda dapat melihat dengan lebih dekat pantai-pantai yang indah, kawasan paya bakau, pembentukan gua-gua dan bukit-bukau yang mengujakan mata.

Bagi anda yang ingin mengikuti cruise ini, waktu yang terbaik adalah sewaktu musim penghijrahan haiwan iaitu dari bulan September hingga Mac.

Lokasi: Sungai Kilim Tourist Jetty, Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, 07000 Kilim, Langkawi

Bayaran Masuk: Dari RM250 – RM500

Waktu Lawatan: 

Setiap hari (8:30 am – 5:00 pm)

Waktu terbaik (Sept – Mac)

12.Kompleks Kraf Langkawi

Tidak lengkap rasanya kalau tak melihat seni tradisional sesebuah kawasan yang dilawati bukan? Kalau di Langkawi lokasinya adalah di Kompleks Kraf Langkawi.

Anda dapat menerokai kepelbagaian budaya dan sejarah berkaitan pulau indah ini di samping melihat kebolehan masyarakat di sini menghasilkan aneka kraftangan yang cukup halus keseniannya. Anda juga boleh cuba mencanting batik, melihat demonstrasi ‘glassblowing’ dan banyak lagi.

Lokasi: Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor

Waktu Lawatan: 10:00 am – 6:00 pm

13.UMGAWA Zipline Eco Adventure Langkawi

Kalau ditanya apakah aktiviti yang wajib dicuba walau sekali dalam seumur hidup di Langkawi, jawapannya adalah mengikuti aktiviti yang ditawarkan oleh UMGAWA Zipline Eco Adventure Langkawi.

Terletak berdekatan dengan Kereta Kabel Langkawi, UMGAWA Zipline Eco Adventure dapat memberikan anda sebuah pengalaman ekopelancongan yang terbaik di dalam hidup di mana anda dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti abseiling dan ziplining yang panjangnya bukan sedikit sambil menikmati pemandangan kemuncak Mat Cincang, Laut Andaman dan Air Terjun Telaga Tujuh.

Masa yang diambil untuk aktiviti ini adalah dari satu ke dua setengah jam. Percayalah, setiap sen dan saat yang dihabiskan, sangat berbaloi.

Lokasi: Umgawa Legendary Adventures, Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi

Bayaran Masuk:

Big waterfall adventure: RM429 – RM499

Jungle flight: RM159 – RM199

Waktu Lawatan: Setiap hari (8:30 am – 4:30 pm)

14.Makam Mahsuri & Muzium

Antara lagenda yang paling terkenal di Langkawi adalah kisah sumpahan yang dikatakan berlaku pada abad ke-19 dek kerana fitnah yang dikenakan kepada seorang wanita cantik bernama Mahsuri. Sebelum dihukum bunuh, Mahsuri telah menyumpah agar Langkawi menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ (tidak aman dan makmur) untuk 7 keturunan.

Kisah ini cukup memberi kesan kepada Langkawi kerana sumpahan ini seperti ada kebenarannya kerana Langkawi hanya mula membangun setelah sekian lama. Nak mengenali dengan lebih dekat wanita yang ‘legendary’ di Langkawi ini? Datanglah ke Makam Mahsuri & Muzium di Langkawi nanti. Dari rumah Mahsuri yang lengkap dengan perkakasan klasik hinggalah kepada barangan perhiasan yang pernah digunakannya dahulu dapat dilihat di sini.

Lokasi: Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka

Waktu Lawatan: 8:00 am – 6:00 pm

15.Pantai Pasir Tengkorak

Inginkan ketenangan yang sebenar setelah puas berlanggar bahu dengan pelancong-pelancong lain? Lawatilah Pantai Pasir Tengkorak. Pantai ini kurang dilawati kerana agak tersorok di sebalik kawasan hutan.

Air lautnya pula cukup jernih dan tenang sesuai untuk anda bermandi-manda sepuas hati. Setelah penat, anda boleh bersantai di atas pasir halus pantai ini sambil menikmati bayu laut yang mendamaikan dalam penuh privasi.

Walau kurang dilawati, pantai ini sebenarnya agak lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, meja, pondok, surau dan beberapa buah gerai makanan.

Lokasi: Pantai Pasir Tengkorak, 07000 Langkawi

16.Kompleks HIG

Selain mencuci mata dengan pemandangan yang menggoda jiwa di Langkawi, aktiviti lain yang terkenal di pulau ini adalah tak lain tak bukan membeli-belah sampai penuh satu luggage.

Sebagai pulau bebas cukai, bermacam barangan di sini boleh dibeli dengan murah. Bukan sahaja coklat, malahan pinggan-mangkuk, minyat gamat, kain pelikat dan segala macam lagi, semuanya boleh dibeli dalam harga yang luar biasa murahnya. Salah satu lokasi shopping yang best di Langkawi ini adalah Kompleks HIG. Apa-apa pun, pastikan makanan yang dibeli ada tanda halal ya?

Lokasi: Jalan Pandak Mayah, Pusat Bandar Kuah, 07000 Kuah

Waktu Dibuka: 10:00 am – 10:00 pm

Realiti atau sekadar ilusi? Keindahan Langkawi akan membuat anda tertanya-tanya sendiri. Daripada senarai ini jelas terpancar pesona pulaunya yang mampu membuatkan sesiapa sahaja tergoda. Kekayaan flora dan faunanya boleh dinikmati sambil melakukan pelbagai aktiviti yang akan membuat sesiapa yang mendengar terasa cemburu. Dah dengar kisah tarikan hebat destinasi ini, nak tunggu apa lagi? Mari nikmati kebebasan seperti burung helang di Langkawi secepat mungkin!

Selamat bercuti!

Leave a Comment