Tempat Menarik Di Melaka: 15 Tarikan Terbaru Jun 2018

Sudah bosan menaiki kereta? Mari kita berbeca di negeri Melaka. Negeri dengan sejarah yang penuh warna-warni ini meninggalkan jejak lampau yang sungguh mengujakan sehinggakan ia diisytiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO. Bukan calang-calang status negeri yang sekecil cili padi di peta Malaysia ini ya?

Bukan itu sahaja, Melaka turut kaya dengan tarikan lain daripada yang mampu membuatkan hati anda terpesona hinggalah kepada yang mendebarkan jiwa. Segalanya ada di bandaraya bersejarah ini. Nak tahu di mana? Jawapannya ada di dalam senarai 15 tempat menarik di Melaka ini. Jom kita lihat!

1.Baba & Nyonya Heritage Museum

Ingin mengetahui dengan lebih banyak tentang keturunan Cina Peranakan yang terkenal di Melaka ini, lawatilah Baba & Nyonya Heritage Museum. Bangunan gabungan 3 lot ini adalah milik 4 generasi Peranakan yang telah menetap di Melaka dari tahun 1861 lagi, iaitu keluarga Chan yang telah datang ke Tanah Melayu untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Untuk pengetahuan anda, Cina Peranakan merupakan keturunan Cina yang telah meresapi budaya masyarakat Melayu (yang juga telah dipengaruhi oleh Portugis, Belanda dan British).

Kesemua pengaruh-pengaruh ini jelas terpancar dalam pemilihan dekorasi dalaman yang unik tempat tinggal mereka sepertimana yang boleh disaksikan di dalam muzium ini. Melangkah masuk ke dalam muzium ini anda akan dapat melihat potret-potret lukisan, perabot-perabot kayu mewah dan banyak lagi perkakasan lain dengan ciri kesenian yang lain daripada yang lain dan sedap dipandang mata.

Lokasi: Jalan Tun Tan Cheng Lock, Bandar Melaka

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM16
Kanak-kanak (5 – 12 tahun): RM11

Waktu Lawatan: Setiap hari (10:00 am – 1:00 pm & 2:00 pm – 5:00pm)

2.Padang Pasir Klebang

Ada padang pasir di Malaysia ni? Biar betul? Jangan terkejut, padang pasir yang ‘lebih-kurang’ seperti di Sahara boleh ditemui di Melaka. Tak perlu ke negara timur tengah untuk merasa berjalan di padang pasir seperti seorang pak Arab yang sedang mengembara.

Terletak di antara Pantai Klebang dan Muzium Kapal Selam, sebenarnya agak mencabar juga untuk menemui Padang Pasir Klebang ini. Sebebnya, padang pasir ini bukanlah diwujudkan untuk tujuan pelancongan, tapi ia terbentuk indah secara tidak sengaja akibat aktiviti penambakan beberapa tahun yang lalu. Google sahaja Pantai Klebang sekiranya anda ingin ke sini, walaupun agak sukar untuk mencari lokasi sebenar padang pasir ini, bila dah jumpa, mau berjam dihabiskan untuk bergambar sepuas hati.

Lokasi: Pantai Klebang, 75200 Melaka

3.Rumah Terbalik (Upside Down House Gallery)

Upside Down House Gallery, dengar namanya sahaja dah pening membayangkan keadaan di dalamnya. Benda yang sepatutnya ada di atas lantai, terletak di siling, yang sepatutnya berada di siling pula, menjadi tempat yang dipijak. Memang coollah untuk berfotografi!

Tak pasti macam mana nak bergaya dalam situasi lintang-pukang ni? Jangan risau, staff yang ada di sini semuanya sedia membantu anda untuk membuat pose paling realistik. Tak payah berpeluh depan laptop untuk edit gambar pelik-pelik, gunakanlah peluang di Rumah Terbalik ini sepuas hati.

Lokasi: G12&G14,Jalan PM 7,Plaza Mahkota,Bandar Hilir, 75000 Melaka

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Warganegara
Dewasa: RM15
Kanak-kanak (Bawah 12 tahun): RM10

Waktu Lawatan: 10:00 am – 7:00 pm

4.The Shore Sky Tower

Tak sempat untuk melawat semua yang ditawarkan di Melaka namun masih ingin mengatakan bahawa anda pernah melihatnya di depan mata? Jom ke The Shore Sky Tower, menara yang tertinggi di Melaka ini menghidangkan anda dengan pemandangan bukan sahaja keseluruhan bandaraya Melaka tetapi juga sehingga ke laut biru Selat Melaka serta pulau-pulau di kawasan sekitar. Terletak di tingkat 43, pemandangan yang terbentang di hadapan menjangkau sehingga 50 km di setiap arah.

Ingin lebih thrill? Anda boleh menikmati pemandangan dari setiap arah termasuklah di bawah tapak kaki anda di dek pemerhatian berkaca lut sinar Sky Deck. Ada berani untuk berdiri atas kaca pada ketinggian sebegini? Inilah waktunya untuk anda berangan menjadi seorang Superman.

Lokasi: The Shore Shopping Gallery, 193, Jalan Persisiran Bunga Raya, 75100 Melaka

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM25
Kanak-kanak: RM18

Waktu Lawatan: 10:00 am – 10:00 pm

5.Muzium Kapal Selam

Dah puas melawat muzium dengan koleksi barangan antik? Jom kita rasai pengalaman yang berbeza di Muzium Kapal Selam pula. Muzium ini mempamerkan sebuah kapal selam sebenar yang dibina pada tahun 1970-an yang didatangkan dari Perancis. Kapal yang diberi nama SMD Quessant ini telah digunakan buat kali terakhir pada tahun 2009 sebelum dijadikan sebagai kapal latihan dan diangkut menggunakan kapal kargo.

Sampai sahaja di sini nanti, anda akan terlopong melihat saiz kapal ini yang sangat besar dengan kepanjangan 70 meter. Memasuki ruang dalamnya pula, anda akan mendapati ruangnya cukup sempit, jadi elakkanlah ke sini pada waktu orang terlalu ramai ya?

Antara yang dapat dilihat adalah peluru torpedo, tempat tidur krew kapal, ruang kawalan kapal dan lain-lain lagi.

Lokasi: Jalan Klebang Besar, 76400 Tanjung Kling, Melaka

Bayaran Masuk (Bawa MyKad):

Dewasa: RM5
Kanak-kanak (Bawah 12 tahun): RM2
Warga emas: RM5

Waktu Lawatan: 9:00 am – 5:30 pm

6.Kota A Famosa

Kota A Famosa, yang membawa maksud “Yang Termahsyur” dalam bahasa Portugis ini memiliki kisah yang pahit disebalik pembinaannya. Bangunan yang dibina pada tahun 1511 ini telah disiapkan hanya dalam masa 5 bulan dengan menggunakan buruh paksa. Sewaktu pembinaan kubu ini, ramai yang mati akibat cuaca yang panas terik dan kebuluran.

Dibina atas arahan Alfonso de Albuquerque, di setiap penjuru kota A Famosa ini diletakkan meriam yang dikatakan 70 buah kesemuanya. Namun, yang dapat anda lihat kini hanyalah pintu gerbangnya kerana bahagian-bahagian lain telah diruntuhkan pada tahun 1807.

Lokasi: Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 78000 Alor Gajah, Melaka

Bayaran Masuk: Percuma

7.Masjid Kampung Hulu

Dibina pada tahun 1728, dengan usianya yang telah pun hampir 300 tahun tidak mengejutkan jika dikatakan masjid ini adalah yang tertua di Malaysia. Dikelilingi oleh kedai-kedai Cina yang majoritinya bukanlah komuniti Islam, namun ia masih dihidupkan dengan solat jemaah 5 waktu dan solat tarawikh dikala bulan puasa.

Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat dengan dekat seni binanya yang berbeza daripada yang lain, dengan bumbung yang kelihatan tidak ubah seperti pagoda dan jubin seramik dengan corak dari zaman dinasti Ching, sudah tentu ianya sesuatu yang menarik untuk disaksikan.

Lokasi: Jalan Tukang Emas, 75200 Melaka

8.Melaka Wonderland Theme Park & Resort

Setelah penat meneroka sekitar bandaraya bersejarah ini, tiada cara yang lagi best daripada terjun ke dalam air kolam untuk menyegarkan badan. Namun, bayangkanlah betapa bestnya kalau dapat melakukan lebih banyak aktiviti sambil badan ditenggelami air selain berenang bukan? Oleh sebab itu, lawatan ke Melaka Wonderland Theme Park & Resort adalah perkara yang wajib dilakukan di Melaka.

Padat dengan pelbagai tarikan air yang syok untuk dicuba dalam theme park yang menggunakan 2 juta liter air ini seperti Adventure Island, Tornado Chaser, 1 Big Wave Pool, dan Kamikaze Racer.

Tarikan lain juga tak kurang hebatnya di wonderland ini adalah seperti Taman Dinasour, Taman Ekstrem dan lain-lain lagi.

Lokasi: Lot PT 17178, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, 75450  Ayer Keroh, Melaka

Bayaran Masuk:

Isnin – Jumaat
Dewasa: RM37.90
Kanak-kanak: RM30.80
OKU/ Warga emas: RM23.70

Sabtu & Ahad
Dewasa: RM42.65
Kanak-kanak: RM36.75
OKU/ Warga emas: RM23.70

Waktu Lawatan: 9:00 am – 7:00 pm

9.Taman Rama-Rama & Reptilia

Di dalam Taman Rama-Rama & Reptilia ini anda dapat merasai pengalaman seperti di alam mimpi, dikelilingi oleh rama-rama yang terbang bebas di dalam taman yang indah ditumbuhi bunga-bungaan yang pelbagai warna. Terlupa seketika segala masalah di jiwa.

Tidak kurang daripada 20 spesies rama-rama yang dapat anda saksikan berterbangan di sekitarnya, dan ini termasuklah rama-rama kebangsaan Malaysia, Rajah Brooke. Siapa sangka Malaysia ada rama-rama kebangsaan?

Lokasi: Taman Rama-rama & Reptilia Melaka, Lebuh Ayer Keroh, 75450 Melaka

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM22
Kanak-kanak: RM16

Waktu Lawatan: 8:30 am – 5:30 pm

10.Jonker Walk

Tak lengkap rasanya kalau tak membeli cenderamata bila dah bercuti ke sesuatu tempat kan? Kalau di KL ada Central Market, di Bandar Melaka pula, lokasi yang meriah dengan pelbagai jenis jualan barangan ini adalah di Jonker Walk.

Dari cenderahati, tekstil hinggalah kepada barangan antik, macam-macam yang boleh ditemui di sini. Sambil berjalan, anda boleh mencuci mata melihat keindahan bangunan-bangunan klasik yang terletak di sepanjang laluan. Memang epiklah!

Lokasi: Jalan Hang Jebat, 75200 Melaka

Waktu: Jumaat – Ahad (5:00 pm – 12:00 am)

11.Skytrex Adventure Melaka

Anda ingat di Shah Alam je ada Skytrex? Jangan tak tahu, di Melaka pun ada lokasi untuk beraktiviti lasak ini. Skytrex Adventure Melaka tidak kurang hebatnya, cukup padu dengan pelbagai aktiviti yang menggugurkan jantung seperti laluan kabel, Tarzan Swing, flying fox, tree climbing dan macam-macam lagi.

Yang penting, anda kena tahu kemampuan diri sebelum terjun ke dalam cabaran yang ditawarkan sama ada beginner, intermediate ataupun advanced, jangan ter‘over-confident’ pula.

Lokasi: 75450 Durian Tunggal, Melaka

Bayaran Masuk:

Little Dino: RM50
Pahlawan Thrill: RM60
Extreme Warrior: RM70

Waktu: 9:00 am – 3:00 pm

12.Melaka Alive

Anda peminat movie Pirates of the Caribbean? Anda wajib ke Melaka Alive! Di sini anda dapat merasakan sendiri pengalaman menjadi seorang lanun. Yang bestnya, pengembaraan anda sebagai seorang lanun terasa cukup realistik dengan kesan-kesan khas yang digunakan untuk menghasilkan simulasi ombak dan ribut. Canggih tak canggih? Bukan di Singapore sahaja ada hiburan hi-tech sebegini.

Dah puas berseronok di dalam dunia lanun, pada waktu malam pula anda boleh menonton pementasan teater tentang zaman kegemilangan Melaka sehinggalah kejatuhan negeri ini ke tangan Portugis. Namun, sewaktu penulisan ini (Mei 2018) teater Melaka Alive ditutup buat sementara waktu untuk kerja-kerja pembaikan. Mungkin akan lebih hi-tech?

Lokasi: Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM23
Kanak-kanak (4 -12 tahun): RM17
Warga emas (60 tahun +): RM17

Waktu Lawatan: 10:00 am – 7:00 pm

13.Muzium Kastam Melaka

Nak tengok apa yang telah dikumpulkan oleh pihak kastam selama berkhidmat kepada negara? Kalau begitu singgahlah ke Muzium Kastam Melaka. Koleksi barangan yang terdapat di sini sangatlah menarik untuk dilihat. Dari yang pelik, sehinggalah kepada barangan antik, macam-macam jenis koleksi yang tak tercapai dek akal ada di sini. Anda juga boleh melihat pameran mengenai teknik-teknik licik yang digunakan penyeludup untuk menyorokkan barang. Senang cerita, memang rugi kalau tak pergi.

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Lawatan:

Isnin – Jumaat: 9:00 am – 5:30 pm
Sabtu – Ahad & Cuti Am: 9:00 am – 6:00 pm

14.Muzium Senibina Malaysia

Dibuka pada tahun 2005, Muzium Senibina Malaysia seperti namanya, mempamerkan kepelbagaian seni bina yang wujud di negara ini. Terbahagi kepada 8 galeri, iaitu galeri rumah melayu tradisional, seni bina rumah ibadat, seni bina kolonial, seni bina istana, seni bina moden, seni bina kota-kota pertahanan dan seni bina peribumi. Tarikan lain yang turut terdapat di sini adalah model Masjid Kapitan Keling di Penang, stesen keretapi Tanah Melayu dan banyak lagi.

Lokasi: Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Lawatan: 9:00 am – 5:00 pm

15.Muzium Maritim (Muzium Samudera)

Sudah melawat muzium di dalam kapal selam? Apa kata kita lihat pula muzium unik yang seterusnya ini yang terletak di dalam replika kapal Flora de Lamar, sebuah kapal Portugis yang tenggelam di perairan Melaka ketika dalam perjalanan menuju ke Portugis.

Di dalam replika kapal yang berketinggian 34 meter ini anda dapat menyaksikan pameran pelbagai koleksi masa lampau yang terdiri daripada tekstil, seramik, sutera, termasuklah harta karun yang dijumpai di dalam kapal karam lain yang bernama Diana.

Koleksi lain yang terdapat di sini adalah pameran pelbagai model kapal berbeza. Mungkin dapat memberi inspirasi kepada anak-anak anda untuk menjadi kapten kapal?

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM5
Kanak-kanak: RM3

Waktu Lawatan:

Isnin – Khamis: 9:00 am – 6:00 pm
Jumaat: 9:00 am – 6:30 pm
Rabu – Ahad: 9:00 am – 6:00 pm

Penat sudah mengayuh perahu,
Berehat sebentar di tepi pokok,
Indahnya Melaka ramai yang tahu,
Masihkah mahu menunggu esok?

Marilah kita bercuti ke Melaka! Dari tarikan yang padat dengan thrill sehinggalah kepada yang mampu membawa anda ke era yang telah beratus tahun berlalu. Melaka sememangnya sebuah destinasi yang wajib dilawati walau sekali dalam seumur hidup. Tidak cukup dengan hanya membaca artikel, buka langkah kaki anda untuk menyelami keindahan kota hikayat Hang Tuah ini.

Selamat bercuti!

Leave a Comment