Tempat Menarik di Penang: 14 Tarikan Terbaru Jun 2018

Teringat Penang, teringat nasi kandaqnya. Tapi kekenyangan perut sahajakah yang ditawarkan oleh Pulau Mutiara ini? Persis dengan gelaran yang diberikan, Penang sebenarnya penuh dengan ‘mutiara’ destinasi menarik untuk dilawati. Nak tahu di mana? Jom kita teroka senarai 14 tempat menarik di Penang ini.

1.Escape Theme Park

Apa kata kalau memulakan adventure anda di Penang ini dengan aktiviti yang menggetarkan seluruh jiwa raga. Aktiviti lasak yang tersedia di Escape Theme Park ini memang sesuai untuk anda yang berjiwa hero. Dari flying fox, jungle swinger, balance beam hinggalah kepada bungee jumping, macam-macam aktiviti mendebarkan yang tersedia di sini. Tentang keselamatan pula, jangan risau, segala kelengkapan seperti jaket keselamatan disediakan supaya anda dapat enjoy tanpa sebarang kerisauan.

Kalau anda nak tahu, Escape Theme Park bukan hanya menawarkan permainan yang ‘kering’ tapi juga WaterPlay dengan aktiviti seperti Banana Flip, Tube Racer dan banyak lagi. Wajib untuk anda membawa kamera GoPro dan strapnya kalau merancang untuk ke sini.

Lokasi: 828, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Bayaran Masuk (Walk-in): 

Dewasa (13 – 60 tahun): RM128.60

Kanak-kanak (4 – 12 tahun): RM84.90

Warga emas (61 tahun & keatas): RM84.90

Waktu Lawatan:

Selasa – Ahad: 10:00 am – 6:00 pm

Isnin: Tutup

2.Bukit Bendera

Bercuti ke Penang tapi tak melawat Bukit Bendera? Memang rugi, kerana inilah salah satu tarikan top yang terdapat di Penang.

Sampai sahaja ke Bukit Bendera ini anda perlu menaiki keretapi yang akan membawa anda ke puncak yang  terletak pada ketinggian 800 meter dari paras laut yang mengambil masa dalam 7  ke 10 minit. Perjalanan yang sungguh curam ini lagi terasa thrillnya kalau anda duduk di bahagian paling hujung keretapi yang membuka mata anda kepada pemandangan luar setiap saat pergerakannya.

Setibanya di puncak, di sinilah bermacam tarikan terkumpul. Tapi yang paling penting sekali, sebaik sampai, nikmatilah pemandangan yang terhidang dari puncak ini sepuas hati. Anda dapat melihat lanskap indah sekitar Penang yang merangkumi Jambatan Pulau Pinang, Fort Cornwallis dan banyak lagi.

Sudah puas? Anda boleh meneruskan penerokaan dengan memasuki taman-taman bunga, bergambar di dataran love lock, melawat Owl Museum, The Habitat dan sebagainya. Bila dah lelah, hilangkan rasa dahaga dan lapar anda dengan menikmati pelbagai makanan yang cukup Instagrammable di cafenya. Semua ini dapat dinikmati dalam suhu yang nyaman, 21 darjah Celsius.  Rasa macam nak datang hari-hari pula.

Lokasi: Jalan Stesen Bukit Bendera, 11500, Penang

Bayaran Masuk (Bawa MyKad): 

Tiket biasa

Dewasa: RM10

Kanak-kanak & Warga emas (60 tahun keatas): RM5

Fast lane

Dewasa: RM40

Kanak-kanak: RM20

Warga emas: RM5

Waktu Lawatan: 6:30 am – 11:00 pm

3.Muzium Pinang Peranakan

Bukan di Melaka sahaja ada keturunan Baba Nyonya ya, Penang juga pernah dibanjari dengan masyarakat Baba Nyonya. Semua ini terbukti dengan kewujudan bangunan-bangunan peninggalan yang memiliki ciri-ciri Peranakan, dan Muzium Pinang Peranakan adalah salah satu darinya.

Muzium Pinang Peranakan ini pada asalnya merupakan sebuah rumah agam lama yang telah dibina sekitar 1900. Rumah ini kemudiannya telah dibaikpulih dan digunakan untuk membuka mata generasi muda tentang gaya hidup dan keindahan seni komuniti ini. Anda dapat melihat pelbagai jenis peralatan, perabot dan sebagainya yang dikatakan lebih daripada 1000 koleksi barangan antik kesemuanya.

Lokasi: 29, Church Street, 10200, Penang

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM20

Kanak-kanak (Bawah 6 tahun): Percuma

Waktu Lawatan: Setiap hari (9:30 am – 5:00 pm)

4.Rumah P. Ramlee

Siapa yang tak terhibur dengan filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dari filem Seniman Bujang Lapok, Labu & Labi, Tiga Abdul dan banyak lagilah. Bukan sedikit, tapi sudah lebih daripada 60 buah filem yang telah beliau hasilkan. Nak lihat dengan lebih dekat kehidupan seniman yang legend ini? Singgahlah ke Rumah P.Ramlee yang terletak di Georgetown.

Anda dapat melihat baju-baju yang pernah digunakan beliau, peti besi untuk menyimpan pakaian, bilik tidur dan lain-lain lagi yang pernah menjadi sebahagian hidup Tan Sri P.Ramlee. Kesemua tarikan ini dapat dilihat sambil mendengar alunan lagi beliau yang dimainkan tanpa henti. Pengalaman berada di sini akan membuatkan anda terasa seperti hidup di zaman 1960-an.

Lokasi: Lot 2180, Jalan P Ramlee, Taman Kampar, George Town, 10460 Pulau Pinang

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Lawatan:

Selasa – Khamis: 10:00 am – 5:30 pm

Jumaat: 10:00 am – 12:00 pm & 3:00 pm – 5:30 pm

Sabtu & Ahad: 10:00 am – 5:30 pm

Isnin (Kecuali semasa cuti umum & cuti sekolah): Tutup

5.Tropical Spice Garden

Rempah ratus dan herba telah menjadi sebahagian daripada masakan Melayu, tapi tak ramai yang tahu asal-usul mereka. Tak cukuplah ‘skill’ Melayu tu kalau tak ada ilmu ini di dada bukan? Sebab itulah anda perlu melawat Tropical Spice Garden.

Taman yang berkeluasan 8 ekar ini menempatkan lebih daripada 500 spesies tanaman herba dan rempah ratus yang didatangkan daripada seluruh dunia. Terletak di tepian bukit berdekatan dengan Batu Ferringhi, taman ini turut memiliki pelbagai tumbuhan yang boleh digunakan dalam perubatan.

Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah lawatan berpandu (sekitar 2 jam) dan juga kelas memasak menggunakan rempah ratus yang diambil sendiri daripada taman ini.

Lokasi: Lot 595 Mukim 2, Jalan Teluk Bahang, Teluk Bahang, 11050 George Town

Bayaran Masuk:

Garden Audio Tours

Dewasa: RM29

Kanak-kanak: RM17

Warga emas: RM23

Lawatan berpandu

Dewasa: RM49

Kanak-kanak: RM25

Warga emas: RM39

Waktu Lawatan: Setiap hari (9:00 am – 6:00 pm)

6.Penang Toy Museum

Kalau anda rasa mainan hanyalah sesuai untuk kanak-kanak, cuba datang ke sini dulu. Penang Toy Museum ini bukan sahaja akan membuatkan anak-anak sahaja yang hyper, tapi yang dewasa pun akan teruja melihat koleksi yang tiada kesudahannya di dalam muzium ini.

Muzium yang tersenarai di dalam Malaysia Book of Records sebagai muzium permainan pertama di Malaysia ini menempatkan lebih daripada 100,000 mainan daripada pelbagai pelusuk dunia. Untuk pengetahuan anda, muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Chamber of Horror, Chamber of Monsters, Hall of Rock Legends dan banyak lagi.

Lokasi: Toy Museum Heritage Garden, 1370, MK2, Teluk Bahang, 11050 Penang

Bayaran Masuk:

Dewasa: RM26

Kanak-kanak: RM19

Waktu Lawatan: Setiap hari (9:00 am – 6:00 pm)

7.Penang Street Art

Suka berposing atau berfotografi? Jom ke Street Art! Berjalan-jalan di sekitar Georgetown ini, anda pasti tidak dapat melepaskan pandangan daripada hasil lukisan yang cukup kreatif yang terdapat pada dinding-dinding bangunannya bukan? Lukisan ini bukan sahaja berada di jalan-jalan yang sering dilalui orang, tapi juga di ceruk-ceruk yang lebih dalam sekitar rumah-rumah kedai.

Rajin berjalan, banyaklah yang anda jumpa. Sebenarnya, seni kreatif ini telah dihasilkan oleh pelukis yang didatangkan daripada Lithuania, Ernest Zacharevic, sekumpulan pelukis 101LostKittens dan juga pelukis yang pekak dan bisu, Loius Gan.

Seni yang dihasilkan bukanlah sekadar lukisan biasa, tapi ianya menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Penang yang penuh dengan nostalgia dan kadangkala diselitkan elemen humor.

Lokasi: Sekitar Georgetown (Jalan Penang, Muntri Street, Lebuh Leith, Weld Quay, Armenian Street, Ah Quee Street dan banyak lagi)

8.Little India

Tercari-cari lokasi yang meriah tak sudah di Georgetown? Gerakkan kaki anda ke Little India. Sampai sahaja di sini, anda bukan sahaja disajikan dengan rentak lagu India yang rancak, deria mata anda turut akan dimeriahkan dengan warna-warni  yang terserlah di sepanjang perjalanan.

Apa sahaja yang memiliki kaitan dengan India ada di sini, dari sari, kedai makan India hinggalah kepada gelang-gelang yang pelbagai warna, semuanya ada.

Lokasi: Lebuh Cecil, 10300 Georgetown

9.Cheong Fatt Tze Mansion

Di sini, anda dapat kembali ke masa lampau tanpa perlu menggunakan mesin merentas masa. Rumah agam yang berwarna biru ini, Cheong Fatt Tze Mansion telah dibina pada akhir abad ke-19. Ia sememangnya sebuah peninggalan antik yang diberikan penjagaan cukup rapi sehingga mendapat anugerah Pemuliharaan Warisan Paling Cemerlang UNESCO 2000.

Jika diteliti, rumah ini diberikan sentuhan Kantonis, Hokkien, Scotland dan Inggeris. Untuk melihat dengan lebih mendalam keindahan rumah ini, anda boleh mengikuti lawatan berpandu yang diadakan yang hanya mengambil masa 1 jam ataupun menginap sahaja di sini. Ya, rumah ini bukan sekadar muzium, tetapi juga sebuah hotel butik.

Lokasi: 14, Leith Street, 10200 Penang

Bayaran Masuk: 

Dewasa: RM17

Kanak-kanak (Bawah 12 tahun): RM8.50

Waktu Lawatan (Tour): 11:00 am, 2:00 pm & 3:30 pm

10.Penang Time Tunnel

Lawatan ke Penang Time Tunnel dapat membawa anda mengikuti perjalanan yang akan membuka mata anda tentang sejarah Penang. Walaupun ‘sejarah Penang’ adalah konsep utamanya, Penang Time Tunnel  sebenarnya tidak ubah seperti 3D Museum yang memaparkan karya seni hebat untuk anda berposing. Terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu yang utama, The History Museum, seterusnya, 3D Mural Art, Fluorescence Room dan 3D Inverted Room.

Sebelum ke sini, pakailah pakaian yang selesa dan pastikan anda membawa bateri kamera lebih sebab banyaknya bukan kepalang latarbelakang dan set-up yang gempak untuk anda bergambar.

Lokasi: 39, Jalan Green Hall, George Town, 10200 George Town

Bayaran Masuk (MyKad):

Dewasa: RM16

Kanak-kanak: RM8

Waktu Lawatan: 

Isnin – Jumaat: 9:15 am – 7:00 pm

Sabtu, Ahad & cuti umum: 9:15 am – 7:30 pm

11.Penang Avatar Secret Garden

Seperti di dalam dunia fantasi yang penuh dengan warna-warni, Penang Avatar Secret Garden mampu membuatkan jiwa anda terpesona walau dimana sahaja anda lihat. Gantungan cahaya lampu LED pada pokok-pokok besar yang terdapat di sini berubah-ubah warna dari masa ke masa dan kesemua warna ini bergabung dengan penuh harmoni antara satu sama lain.

Walaupun dibuka dari awal pagi, apalah gunanya kalau tak melihat cahaya yang penuh magikal ini bukan? Rancanglah untuk melawat dunia avatar ini bila-bila masa selepas pukul 7:35 pm ya?

Lokasi: 336, Jalan Tokong Thai Pak Koong, Tanjung Tokong, 11200 Tanjung Bungah

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Lawatan: 

Setiap hari: 8:00 am – 12:00 am

Lampu dibuka: Dari 7:35 pm

12.Penang 3D Trick Art Museum

Penang 3D Trick Art Museum terletak di dalam sebuah rumah kedai 2 tingkat yang panjang iaitu dari King Street hinggalah ke Penang Street.

Muzium ini menggabungkan lukisan mural yang bermain dengan perpektif pandangan anda dan prop 3D yang sebenar. Apabila anda masuk ke dalam set-up seni kreatif ini, satu foto yang tak tercapai dek akal akan terhasil. Siapa tak tahu rahsia ilusinya, mesti akan pening melihat foto anda.

Lokasi: 10 Lebuh Penang, Georgetown, Penang

Bayaran Masuk (MyKad):

Dewasa: RM15

Kanak-kanak: RM10

Waktu Lawatan: 

Isnin – Jumaat: 9:00 am – 6:00 pm

Sabtu & Ahad: 9:00 am – 8:00 pm

13.Muzium Perang

Anda rasa anda cukup berani? Kalau begitu, mari kita mulakan langkah penuh debaran ke muzium yang paling menyeramkan di Asia seperti yang dikatakan di dalam National Geographic Channel, Muzium Perang yang terletak di Batu Maung, Penang.

Muzium ini pada  asalnya adalah sebuah kubu pertahanan yang dibina oleh pihak British pada tahun 1930-an. Namun, ketika perang dunia ke-2, kubu pertahanan ini telah jatuh ke tangan Jepun yang turut menggunakannya sebagai tempat penyeksaan dan penjara bagi askar British, Sikh dan Melayu.

Untuk pengetahuan anda, muzium perang ini pernah diabaikan selama 50 tahun sebelum dibaikpulih dan dijadikan muzium. Di sini anda dapat melihat tapak Anti-Aircraft, replika tali gantung General Jepun, hostel tentera, jerangkap samar dan macam-macam lagi yang mampu meremangkan bulu roma.  Nak lebih seram? Apa kata kalau anda melawat muzium ini pada waktu malam? Lagi feel.

Lokasi: No Lot 1350, Mukim 12, 11960 Batu Maung, Pulau Pinang

Waktu Lawatan: Setiap hari (9:00 am – 11:00 pm)

14.Pasar Malam Batu Ferringhi

Dah puas makan, berposing dan explore semua celahan Penang, tibalah masa bershopping cenderamata untuk diberikan kepada yang tersayang. Tak perlu cari di tempat lain, bermacam pilihan yang ada di Pasar Malam Batu Ferringhi ini. Keychain, fridge magnet, poskad dan sebagainya boleh ditemui di sini. Yang bestnya, memang senang nak tawar-menawar dengan peniaga di sini.

Dah penat membeli-belah, singgah sat makan Char Kuew Teow di gerai yang terletak berdekatan. Enaknya bukan main!

Lokasi: Jalan Batu Ferringhi, 11100 Ayer Itam, Pulau Pinang

Waktu Lawatan: Setiap hari (7:00 pm – lewat malam)

Hebat-hebat tarikan di Penang ni bukan? Apa yang anda carikan sewaktu bercuti? Tempat cool untuk bergambar? Ingin merasa pengalaman merentas masa? Aktiviti yang mendebarkan dada dan meremangkan bulu roma? Semuanya ditawarkan di Pulau Pinang. Apa lagi yang ditunggu? Jom ke Pulau Pinang untuk sebuah percutian yang memuaskan segala deria anda!

Leave a Comment